> CINA JHO LOW BERFOYA-FOYA MELAYU JADI KUDA BAYAR HUTANG - SuaraKami
Follow us on Facebook
Powered by: Internetsmash

CINA JHO LOW BERFOYA-FOYA MELAYU JADI KUDA BAYAR HUTANG


JHO LOW DENGAN SKANDAL 1MDB BERSUKA-SUKA MANAKALA NEGARA MALAYSIA YANG JADI HINA DAN BERHUTANG BERIBU-RIBU JUTA, ANAK DAN CUCU KITA MENJADI MANGSA!
oleh A Kadir Jasin
APA yang membezakan Malaysia dengan banyak negara bekas tanah jajahan di segi kemajuan ekonomi dan kemasyarakatan ialah kita memulakan proses perindustrian awal.
Masa kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 industri yang ada hanyalah memproses bahan-bahan mentah untuk eksport macam kilang papan, peleburan timah, mengilang getah dan kelapa.
Segala barang keperluan pengguna seperti makanan, pakaian, alat jentera, elektrik dan ubat-ubatan diimport, khususnya dari England, United Kingdom atau daripada “empire” iaitu tanah-tanah jajahan Inggeris seperti Hong Kong dan India yang sudah ada industri.
Kita memulakan proses perindustrian secara terancang pada pertengahan tahun 1960-an dengan menjemput pelabur tempatan dan asing mengeluarkan barang-barang gantian import seperti makanan diproses, pakaian, kelengkapan elektrik dan jentera ringan.
Itulah asal usul bertapaknya pelaburan asing selepas merdeka di negara kita. Dengan itu juga pergantungan kita terhadap modal Inggeris berkurangan dan kita memperoleh pelaburan daripada negara-negara Eropah yang lain dan paling ketara daripada Jepun.
Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya akibat jangkitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dasar pelaburan asing kita telah berubah.
Kerajaan telah mula menjual industri strategik yang kita bina sendiri kepada orang asing dan sejak setahun dua ini hatta tanah pun mula dijual, dipajak dan digadai kepada orang asing.
Skandal penipuan 1MDB terus merebak jangkiti ekonomi, kewangan dan kedaulatan negara kita.
Pada awal bulan ini, akhbar Financial Times melaporkan yang 1MDB sedang bersiap sedia membayar balik hutang sebanyak AS$6.5 bilion (kira-kira RM26 bilion) dengan pertolongan negara China.
1MDB berhutang kepada syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), tapi tak ada duit nak bayar balik. Macam mana nak bayar balik bila perniagaan tak untung. Rugi ada.
IPIC telah kemuka saman ke atas 1MDB di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London. Dua orang pegawai IPIC yang subahat tipu 1MDB telah ditangkap oleh kerajaan Abu Dhabi.
Duit sendiri memang tak ada. Bukan saja berniaga tak untung tapi banyak dah dilesapkan dan dibawa lari ke luar negara. Pejabat Peguam Negara Switzerland yang sedang siasat pengalihan duit haram (money laundering) syak sebanyak AS$4 bilion (RM16 bilion) duit 1MDB telah disonglap.
Skandal 1MDB bukan saja memalukan negara kita malah sangat berbahaya. Singapura telah pun bicara dan dapati bersalah beberapa orang yang jadi orang tengah mencuri dan menggelapkan duit 1MDB.
Tapi Peguam Negara Malaysia Apandi Ali kata tak ada bukti perbuatan salah di Malaysia.
Macam saya dah kata banyak kali, 1MDB adalah perniagaan atas angin ala skim cepat kaya Pak Man Telo yang direka oleh seorang Cina Pulau Pinang bernama Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Kalau dia berniaga atas angin bersendirian itu hak dialah. Di negara kita ada macam-macam skim perniagaan atas angin dan haram sampai ketua samseng pun boleh jadi kaya raya dan dibagi gelaran ‘datuk’ oleh Raja Melayu.
Tapi dalam hal 1MDB ini ia babitkan kerajaan Malaysia – ertinya kita semua – melalui Kementerian Kewangan. 1MDB adalah anak syarikat Kementerian Kewangan. Oleh sebab itu hutang 1MDB sebanyak RM50 bilion jadi hutang kita semua.
Secara teknikal Malaysia dah “insolvent” atau tak cukup duit nak bayar hutang. Lebih kurang dah muflis akibat hutang 1MDB.
Jho Low sudah lama cabut dari Malaysia. Dia dan konco-konco yang termasuk anak tiri Perdana Menteri, Najib Razak, berfoya-foya di pusat-pusat hiburan dan perjudian dunia di Amerika Syarikat, Eropah dan Timur Tengah.
Ikut taksiran Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ), Jho Low dan gengnya, termasuk Riza Aziz, dah guna kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) duit yang dicuri dari 1MDB untuk beli harta di Amerika Syarikat saja.
Sekarang, akibat perbuatan kaki putar Cina Pulau Pinang yang berupa sahabat akrab keluarga Najib itu, negara kita terpaksa minta sedekah kepada China.
Umno takut-takutkan orang Melayu terhadap DAP tapi yang menipu kita semua adalah Cina kawan Perdana Menteri sendiri.
Kita tahu negara komunis China tak akan bantu 1MDB atau kerajaan Malaysia cara percuma atau sukarela. Mesti ada kira bicara di sebaliknya. Dalam bahasa Inggeris dia kata quit pro quo. Dalam bahasa mudah, engkau garu belakang aku, aku garu belakang engkau.
China akan bantu pasal sudah pun dibagi kontrak dan projek beratus bilion ringgit oleh kerajaan Najib macam Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur berharga RM55 bilion, pembelian 10 buah kapal peronda persisiran berharga RM300 juta tiap satu, Projek Bandar Malaysia di atas tapak Lapangan Terbang TUDM Sungai Besi dan kilang penjana elektrik.
Dalam masa tak sampai 10 tahun, China muncul sebagai pelabur, pemaju hartanah dan kontraktor asing yang paling agresif dan dapat layanan istimewa di Malaysia sampai jejaskan kedudukan pemaju tempatan.
Pada 22 November lepas agensi berita ekonomi antarabangsa Bloomberg siar rencana berkenaan “bandar raya China” bernilai AS$100 bilion (RM400 bilion) yang sedang dibina di Johor.
Antara lain berita itu kata, pemaju dari China yakin Johor Bahru yang dekat dengan Singapura akan jadi Shenzhen baru. Shenzhen ni adalah bandar raya baharu di tanah besar China ke utara Hong Kong.
Ungkapan “the next Shenzhen” atau Shenzhen baharu itu sangat menarik. Tapi kalau kita faham sangat menakutkan. Johor Bahru akan jadi Shenzhen baharu sebab kebanyakan harta yang sedang dimajukan di situ ditujukan khas kepada pembeli dari China dan Singapura.
China banyak duit dan selera pelabur China sangat besar. Menurut Bloomberg, projek yang akan jadi “Shenzhen baharu” itu dikenali sebagai Forest City dan mampu tempatkan 700,000 penduduk. Pembinaan bermula Februari lalu dan 8,000 unit apartmen dah dijual.
Ia adalah projek terbesar di antara kira-kira 60 projek di Iskandar Malaysia yang semuanya akan menambah setengah juta kediaman yang ditujukan kepada pembeli luar negara, khususnya dari China dan Singapura.
Kalau kita tak jaga-jaga dan kita biar orang tamak bermaharajalela, boleh jadi kita akan alami masalah kependudukan dan percanggahan budaya yang sangat besar.
Sekarang pun sudah ramai rakyat tempatan, khususnya Bumiputera dan bukan Bumiputera miskin, dah terpinggir dan tertindas akibat persaingan daripada pendatang Singapura yang lebih kaya.
Sebaliknya rakyat jelata kita yang ada kemampuan tak berminat dengan harta di “next Shenzhen” sebab mereka dah ada rumah di Australia, New Zealand, England, Amerika Syarikat dan Kanada atau sedang berkira-kira berhijrah ke luar negara.
Kita juga tak boleh pandang ringan kemungkinan negara kita, khususnya Johor, dibanjiri pemastautin asing yang beza bahasa dan budaya dengan kita atau yang tak hormati kepelbagaian kaum kita.
Sifat tamak dan gila duit orang kita yang berkuasa boleh sebabkan negara dijajah semula melalui pemilikan ekonomi dan pemberian hutang. Akhirnya kita terpaksa hantar “bunga emas” kepada China macam raja-raja kita buat pada zaman dulu kala.
Inilah bencana yang sedang timpa kita akibat sabotaj ekonomi dalam bentuk 1MDB.
Dalam Umno berkempen menakut-nakutkan orang Melayu, orang kampung dan orang Felda terhadap Cina DAP tapi di belakang mereka, kerajaan yang Umno pimpin dah ditipu oleh Cina Jho Low kawan keluarga Najib.
Banyak tanah dan harta pusaka dah dijual-gadai kepada negara China kerana nak tampung hutang RM50 bilion yang Jho Low bebankan ke atas kita semua melalui skandal 1MDB.
Dia curi duit untuk bersuka-suka, negara kita yang jadi hina dan berhutang beribu-ribu juta yang kita, anak dan cucu kita jadi kuda, jadi mangsa.
Inikah wasatiyyah?
*Datuk A Kadir Jasin adalah tokoh wartawan negara. Artikel ini pertama kali disiarkan di blog beliau.

CINA JHO LOW BERFOYA-FOYA MELAYU JADI KUDA BAYAR HUTANG CINA JHO LOW BERFOYA-FOYA MELAYU JADI KUDA BAYAR HUTANG Reviewed by suarakami on 02:59 Rating: 5

No comments:

suarakami. Powered by Blogger.